SHAH ALAM, 13 Ogos - Ketika adanya aduan bahawa harga makanan dan juadah berbuka puasa mula naik di kebanyakan tempat sejak dua hari lalu, di restoran Malaysia Negara Ku di Shah Alam, anda boleh makan sepuas-puasnya dengan hanya membayar RM2.
Syaratnya, pelanggan perlu menunjukkan kad pengenalan sebagai bukti mereka adalah warganegara Malaysia.
Dengan harga RM2 seorang, pelanggan boleh menikmati nasi putih dengan tiga atau empat jenis lauk dan segelas air.
Restoran Malaysia Negara Ku beroperasi di Seksyen 7 di sini, memulakan operasinya sejak hari pertama Ramadan kelmarin.
Pengurus restoran, Azahar Samat, konsep restoran Malaysia Negara Ku sebenarnya adalah untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat tentang amalan kebersihan diamalkan serta semangat cintakan negara.
"Konsepnya macam orang dulu-dulu kerana apa yang uniknya restoran ini pelanggan yang datang perlu menunjukkan kad pengenalan sebagai bukti mereka adalah warganegara," katanya.
Restoran ini menggunakan konsep layan diri."Selepas selesai makan, pelanggan perlu membasuh pinggan yang mereka gunakan... ini sama seperti kita kecil dulu yang mana mak pasti akan suruh kita basuh pinggan selepas makan," kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider.
Beliau berkata konsep restoran Malaysia Negara Ku lebih kepada tempat makan, bukan restoran.
"Ini kerana semuanya dilayan sama sahaja tiada siapa yang istimewa.
"Lagipun kita membuka restoran ini adalah supaya semua orang tanpa kira latar belakang sama ada kaya atau miskin dapat sama-sama menikmati masakan di sini dengan hanya RM2.
"Kita juga sebenarnya bukan nak mencari keuntungan besar, tetapi lebih kepada untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan," katanya.
Restoran Malaysia Negara Ku dimiliki oleh Datuk Zainal Abidin Awang Kechik yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam industri makanan dan mempunyai lima restoran bertaraf tujuh bintang di luar negara.
Beliau dikatakan merancang untuk membuka 220 cawangan Malaysia Negara Ku di seluruh Malaysia.
"Semenjak harga barang naik banyak restoran yang menaikkan harga makanan mereka tapi kita tidak kerana kita mahu beri peluang kepada semua orang termasuk yang kurang berkemampuan.
"Ini yang kita mahu lakukan kerana kita tahu ramai rakyat negara ini tidak berkempunan untuk berbelanja besar tapi di sini dengan hanya RM2 mereka boleh makan sepuasnya," kata Azahar.
Tambahnya, pelanggan yang tidak membawa kad pengenalan dan bukan warganegara akan dikenakan bayaran RM6 seorang.
"Kalau nak makan RM2 mesti kena bawa kad pengenalan jika tidak kena bayar RM6.
"Melalui cara ini ia secara tidak langsung dapat menanam semangat cintakan negara dan juga patriotisme," katanya.
Azahar berkata semenjak dibuka pada hari pertama Ramadan sambutan yang diterima semakin menggalakkan.
"Pada hari pertama kita sediakan untuk 100 orang tapi hari ini (semalam) kita sediakan untuk 300 orang.
"Setiap hari kita akan masak lauk yang berbeza kerana kita mahu pelbagaikannya selain tidak mahu pelanggan muak dengan lauk yan sama," katanya.Restoran Malaysia Negara Ku boleh menampung kira-kira 150 orang pada satu-satu masa.
"Saya rasa ini restoran yang pertama di Malaysia yang mengamalkan konsep seperti itu.
"Selain itu, kita juga bercadang untuk membuka restoran ini sehingga sahur, mungkin pada minggu hadapan," Azahar lagi.
Ia juga menggunakan sukarelawan untuk melakukan kerja-kerja memasak.
Aspek-aspek ini dilihat dapat mengurangkan kos operasi, dan menyediakan makanan dengan harga RM2 seorang.
Menurutnya, walaupun harga makanan murah, namun kualiti penyediaan makanan tidak diabaikan malah menggunakan bahan masakan berkualiti dan memberi kepuasan kepada orang ramai yang singgah.
"Kita amat menitikberatkan kebersihan di sini kerana ini adalah tempat makan, jadi semua aspek itu perlu dijaga.
"Selain itu, bahan masakan seperti beras, ayam, daging, sayur dan sebagainya semuanya bersih dan berkualiti," katanya.
No comments:
Post a Comment